Tuesday, 9 February 2016

Bila Tuhan Berbicara


Bila Tuhan Berbicara


Saat dia berpaling,
Dia sedar bahwa Tuhan yang Satu,
Sedang berbicara dengannya,
Hanya syukur yang terlafaz.
?
Hanya ALLAH yang tahu hatinya. Aisya Humaira’ tersenyum dalam paksa. Semua saudara mengira jiwanya rela dan pasrah. Namun, air mata yang sekian lama tersimpan terus menjadi rahsia. Tahniah diucapkan bertalu-talu daripada semua yang hadir ke majlis ini. Sebuah akad nikah dan kenduri kesyukuran pernikahannya bersama Zayid Fawwaz, seorang usahawan yang baginya tidak pantas untuk menerajui bahtera rumah tangganya itu. Lelaki yang tiada latar belakang agama. Bukan pilihannya melainkan harapan umi untuk menyatukan mereka, Aisya akhirnya pasrah.

Biarlah dirinya milik lelaki itu, biar jasadnya tercipta untuk lelaki itu, namun cinta tulusnya hanya untuk Ustaz Salahuddin Zikri. Hanya itu cintanya.
Zayid mendekatinya. Insan itu tersenyum manis. Bahagia terukir melalui wajah yang tenang itu. Aisya Humaira’ berpaling ke arah lain. Dia sebisa mungkin berusaha agar Ustaz Salahuddin tidak akan melihat keadaan mereka.
Saat Zayid ingin mengucup dahi Aisya, pengantin wanita itu segera beralih ke tepi. Sanak saudara berdekatan terkejut dengan tindakannya. Zayid Fawwaz membiarkan sahaja. Dia tidak ingin memaksa kekasih hatinya itu.
Sekali lagi, dia berniat menyarungkan cincin pernikahan mereka. Tetapi, kali ini, Aisya bertindak lebih drastik. Tangan Zayid ditepisnya kasar.
“Aku tak nak! Faham tak?”
Aisya bangun. Meninggalkan majlis. Bergelar seorang isteri kepada lelaki yang tidak dicintai amat menyakitkan baginya. Zayid mengambil langkah bijak,meminta ruang ke tandas sebentar. Dia kecewa. Tapi, senyuman di bibir menjadi penawar luka di hati.
Malam pernikahan, Aisya mengunci pintu bilik dari dalam. Dia tidak mahu sesuatu terjadi antara mereka. Dia tidak ingin Ustaz Salahuddin kecewa dengannya. Biar lelaki itu menyatakan cinta lelaki itu bukan untuknya, Aisya tetap teguh dengan sebuah pendirian. Dia akan tetap setia.
Zayid merenung pintu kamar mereka. Ada tasbih yang berjuntaian di tangan. Ada zikrullah pengubat hati. Aisya Humaira’, insan pertama yang memenangi hatinya. Saat dikhitbahkan, dia sudah jatuh cinta pada perwatakan wanita yang lembut itu. Tapi, gara-gara membencikan dirinya, Aisya Humaira’ berubah laku. Kasar. Bahasa dan segalanya.
Zayid Fawwaz tidak meminta semua itu. Dia tahu, ALLAH merencana sesuatu yang baik buatnya. Dia ingin bersangka baik. Hanya itu yang mekar harum dalam naluri kasihnya.
“Abang mungkin tak sempurna untukmu sayang. Tapi, berilah abang peluang. Hanya satu peluang.”
Zayid membeli sebuah kitab cinta untuk isterinya. Dari kejauhan, dia melihat kelibat Ustaz Salahuddin yang sedang meneliti sebuah buku.
“Assalamua’laikum, Zikri.”
“Waa’laikumussalam. Ya ALLAH, pengantin baru. Apa khabar, ya enta?”
Zayid tersenyum. Inilah insan yang sebenarnya diharapkan oleh Aisya. Bukan dirinya.
“Alhamdulillah, ana sihat.”
“Aisya Humaira’ macam mana? Dia sudah boleh terima enta?”
Sepi. Tiada kata terluah. Hanya bunyi bising pengunjung lain yang kedengaran di kedai buku SMO ini.
Ustaz Salahuddin mengeluh. Dia tahu erti pandangan mata dan wajah sahabatnya itu. Kadangkala, dia malu dengan Zayid. Ibadatnya amat kurang jika ingin dibandingkan dengan lelaki yang asyik menguar-uarkan bahawa ilmunya hanya boleh dibilang dengan jari sahaja. Zayid lelaki luar biasa. Penuh kesabaran dan rendah diri.
“Ana sudah bertunang, Zayid. Tak lama lagi, ana akan menikah. Apa lagi yang Aisya harapkan?”
“Dia sangat mencintaimu. Ana tidak pernah menyalahkannya.”
“Enta harus tegas dengannya.”
Zayid mengambil kata putus. Dia merenung redup mata Ustaz Salahuddin.
“Ana ingin meminta tolong enta. Ini soal hidup dan mati.”
Aisya Humaira’ hanya memandang sepi kitab cinta itu. Langsung tidak dibeleknya apatah lagi untuk berterima kasih kepada suaminya. Biar itulah buku yang selama ini ingin dimilikinya, namun kerna ego, Aisya hanya berlagak biasa.
“Yang kau bazir duit untuk aku ini kenapa?”
“Sayang, bacalah. Banyak ilmu feqah dalam ini. Banyak juga mengenai kehidupan berumah tangga. Boleh bantu ibadat kita yang kurang sempurna itu.”
Aisya mendengus kasar. Ada nada tidak puas hati pada keluhan kasar itu.
“Eh,aku ini tahu agama. Tak payah lagi semua ini. Kalau kau rasa tak sempurna, baik kau saja yang baca. Bukannya aku. Tak payah nak ajar orang kalau diri sendiri belum sempurna.”
Aisya ingin pergi namun sempat dihalang oleh genggaman tangan Zayid. Itulah kali pertama lelaki itu menyentuh dirinya setelah tiga bulan menikah. Ada getaran yang dirasainya. Aisya segera melepaskan genggaman itu. Tidak mahu tergoda akan kelembutan suaminya.
“Abang memang lelaki jahil. Abang tak tahu apa-apa. Tapi, abang cuba untuk belajar. Abang memang bukan macam Ustaz Salahuddin. Tapi, abang cintakan Aisya. Sangat kasihkan Aisya. Abang tahu, Aisya banyak ilmu. Tapi, Aisya tak boleh takabbur dan bermegah-megah dengan apa yang Aisya ada. Berdosa, sayang. Maafkan abang seandainya gelaran suami itu belum pantas untuk abang, dan percayalah abang sentiasa mengharapkan Aisya. Abang redha dengan Aisya. Mungkin, abang yang belum sempurna sampaikan Aisya begitu benci pada abang. Maafkanlah abang, sayang.”
“Hah! Baru sedar diri itu siapa. Baguslah. Kau ingat harta kau yang berjuta-juta ini buat aku hairan sangat lah? Ingat ya, Encik Zayid, sampai bila-bila aku takkan terima kau. Alang-alang kau sudah mengaku yang kau tak layak untuk aku, lagi senang kerja aku nak tuntut cerai lepas ini.”
Berderau darah Zayid ketika itu. Kecewa yang teramat sangat di sembunyikan. Namun, dia mampu lagi tersenyum dalam wajahnya yang memulai pucat. Zayid terbatuk-batuk kecil. Sakit yang dirahsiakannya seakan-akan menjalar ke seluruh anggota badan.
“Sayang…
“Kau tahu, aku benci kau! Sampai bila-bila aku benci kau. Pergi mampuslah dengan sayang kau itu. Dahlah tak ada agama, menyusahkan aku pulak.”
“Astaghfirullah, Aisya! Kenapa jadi macam ini? Abang cuma nak bagi kitab ini saja. Jangan macam ini,sayang.”
“Dah! Kau pergi,pergi! Jangan ganggu hidup aku. Aku benci kau, Zayid! Aku benci kau sampai bila-bila. Pergi!!! ”, tengkingan Aisya membuatkan Zayid akhirnya sedar. Takkan mungkin ada cinta dari hati wanita itu buatnya.
Zayid akhirnya meletakkan kitab cinta tersebut di atas meja. Ada tangis yang ditahannya. Perlahan-lahan, dia menuju ke bilik dan menutup pintu. Tiada balas kata buat isterinya lagi. Dia ingin bermadah bersama kekasih teragung. Dia ingin menangis bersama tuhannya.
Melihat tindakan Zayid yang menyepi, terketar-ketar tangan Aisya memegang kitab pemberian suaminya itu. Ada jernih mutiara yang mengalir di pipinya tanpa sedar.
Aisya bangun dari tidur. Biasanya, dia akan mendengar suara suaminya mengaji. Namun, pagi ini tiada suara yang mula didambakannya itu. Tiada alunan merdu kalamullah yang kedengaran.
Aisya mencari kelibat suaminya di bilik sebelah. Kosong. Tiada sesiapa. Dia mulai resah. Hatinya bimbang. Laju langkah kakinya berpusing-pusing satu rumah. Kereta suaminya sudah menghilang. Entah ke mana.
Telefon rumah berdering bising. Membingitkan telinga dan fikirannya yang berserabut.
“Ya ustaz, ada apa?”
“Maafkan ana kerana baru telefon sekarang. Sebenarnya…
Satu tahun kemudian…
Lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur.

Wanita itu masih menanti di situ. Dia sentiasa menunggu. Bersama kitab cinta di tangan, dia sentiasa berharap dan berdoa. Dia masih ingat saat getir itu. Saat hatinya memastikan segalanya. Rasa cinta yang bersemi buat seorang insan bernama Zayid Fawwaz. Namun, waktu itu jua yang memisahkan segalanya. Dia terlambat.
Pagi itu, dia tergesa-gesa ke lapangan terbang ini. Mencari gerangan suaminya agar tidak terlewat sedikit pun untuk menyatakan kasihnya. Namun, sayangnya usaha itu sia-sia. Zayid bertolak sejam yang lalu. Ustaz Salahuddin pula muncul bersama seorang wanita.
“Saya tak jumpa dia. Mana dia? Mana dia, Ustaz?”
Ada tangis kesalan pada nada yang merintih itu. Dia menyesal.
“Zayid lelaki yang baik, Aisya. Dia sangat baik dan taqwa. Dalam hidupnya, doa yang tidak putus-putus keluar daripada bibirnya adalah cinta yang ikhlas dari hatinya. Tetapi, dia harus pergi dahulu. Zayid ambil keputusan untuk menunaikan haji sebelum bertolak ke Mesir untuk menjalani pembedahan di sana. Dia sakit, Aisya. Ana kesal sebab hanya boleh beritahu pada enti sekarang. Ini amanatnya. Selama ini, Zayid ingatkan isterinya boleh menemani dia buat hari-hari terakhir dalam hidupnya, tapi dia tersilap. Bayangkan Aisya, hari pertama pernikahan kalian, dia disahkan menghidap kanser otak. Hati mana yang tidak kecewa? Jiwa mana yang tidak menderita. Apatah lagi bila enti sering mendera perasaannya yang sentiasa pasrah dengan enti. Dia ingin beritahu enti, yang dia sakit. Tapi, enti herdik dia bila dia beri kitab itu. Dalam itu, ada sebuah penanda yang tertulis rahsianya itu, tapi dia buang penanda itu sebelum enti baca kitab ini. Dia takut, kalau enti kecewa dengan dia. Dan untuk pengetahuan enti, setiap hari dia bangga-banggakan enti di pejabat. Ramai yang ingin kenal siapa Aisya Humaira’. Dia masih tersenyum untuk membalas cemuhan enti. Sepatutnya, dia dah buat pembedahan dari dulu, tapi sebab dia risau pada enti, dia tangguhkan semuanya. Tapi, apa balasan enti, Aisya? Enti deritakan dia. Enti masih tunggu ana. Padahal, ana sudah mahu menikah.
Hmm, ini tunang ana. Dia sanggup berkorban untuk enti. Bacalah warkah dari Zayid ini. Enti akan faham.”
Assalamua’laikum, Aisya. Maafkan abang kerana meninggalkanmu. Ini adalah untuk kebaikan kita. Pagi tadi, aku mengucup keningmu buat kali terakhir sebelum kaki ini melangkah keluar. Redhailah perbuatan abang itu. Di sini, abang sudah siapkan cek bank untuk wang nafkah saat pemergian abang ini. Aisya, jika sayang tidak sanggup lagi menanti, dan abang sudah dijemput Illahi tolong laksanakanlah pesanan ini. Hanya ini pintaku buatmu. Lupakanlah abang. Buang semua pakaian abang di rumah. Jangan biarkan suamimu nanti kelak terasa denganmu. Sedekahkanlah untukku Al-Fatihah. Dan, nikahilah Salahuddin, sayang. Namun, jika Aisya masih setia, khatamkanlah kitab cinta itu, dan abang akan faham keinginanmu itu. Hanya satu yang abang ingin Aisya ketahui. Cinta Zayid Fawwaz hanyalah untuk Aisya Humaira’.
Zayid Fawwaz.

Aisya meraung di situ. Pandangan mata orang ramai menyaksikan segala-galanya. Dia sudah mengenali insan yang benar-benar memiliki hatinya. Zayid Fawwaz! Kenapa dia buta selama ini, tuhan? Kenapa?
Aisya terduduk dalam kalangan orang ramai. Linangan air mata yang berguguran akhirnya tunduk tatkala dia sudah terlambat.
Abang, baliklah…Baliklah..Aisya minta maaf. Aisya minta maaf.
Itu kisah setahun yang lalu. Ceritera yang sudah kehabisan episod. Dia kini hanya lelah menanti. Bangku itu seakan-akan menjadi miliknya semenjak setahun lalu. Itulah tempat terdekat dengan balai berlepas. Dia ingin melihat wajah Zayid. Dia ingin melihat semua itu.
Aisya menunduk sayu. Dia membaca helaian terakhir kitab itu. Dalam masa setahun, dia sengaja melambatkan bacaannya agar Zayid akan muncul saat dia mengkhatamkan kitab cinta itu.
Adakah ALLAH mendengar doanya yang satu itu? Itu harapannya. Aisya mengalirkan air mata. Waktu Zuhur akan membuka tirainya. Aisya memandang balai berlepas dengan linangan air mata.
‘Abang..baliklah.’
Aisya bangun. Kitab cinta itu ditutup kemas. Dia tersenyum pahit. Ada derita yang tersarat di dada. Derita merindu seorang suami yang dinafikan haknya dulu.
Aisya rindu abang, baliklah.
Saat kakinya ingin melangkah pergi, akhirnya ada suara yang memanggil namanya. Terkedu Aisya seakan-akan dunia berhenti berputar. Bergetar bibirnya ingin menjawab suara itu. Suara yang dirinduinya selama ini. Suara yang dinanti-nantikan sekian lama. Suara insan yang sentiasa bertakhta di hatinya.
Tika Aisya berpaling, dia sedar Allah sedang berbicara dengannya. Senyuman manis itu tampak indah di matanya. Tiada kata yang ingin dilafazkan melainkan sebuah bicara syukur buat tuhannya yang satu itu. Ustaz Salahuddin masih mempamerkan senyuman, berdiri di samping lelaki itu.
Aisya menghampiri suaminya. Ada kata yang ingin diucapkan.
“Abang, Aisya dah khatam.”
Zayid Fawwaz mengucup dahi isterinya. Saat kesakitannya berlalu kerana takdir ALLAH yang ingin menyatukan mereka kembali.
“Alhamdulillah.”

No comments:

Post a Comment